Assalamualaikum wbt.
Menggigil aku baca kisah ni. Lalu aku Copy & Paste untuk dikongsikan bersama. Jom baca...
✐ Selepas
Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang
memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat
yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan
akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua
makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan
hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan
keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini
menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha
Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40
tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk
kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa
padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat
seperti bumi.
✐ Sekelian
manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang
berada di hujung tulang belakang mereka.Hiduplah manusia umpama anak pokok yang
kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia
dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu
kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib &
masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah
api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin
dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan
tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan
berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan
anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua
makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka
tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba
langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat
sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz
malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian
matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda.Hingga dirasakan
seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata
jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya
seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka
rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi
lautan.Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan
masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu
telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang
hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau
oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus
selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan
perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih
dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang
mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk
berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat
teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang
adil.
ⅱ- Orang muda yang
taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang
terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang
bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak
oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada
Allah".
ⅵ- Lelaki yg
bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang
suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan
Allah.
✐ Oleh kerana
tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa
melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah
berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para
Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha
mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan
kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi
Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan
sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW.
Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah
baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu,
terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk
kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy
Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak
perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga
'Arasy itu tiba dibumi.
✐ 'Arasy ialah
jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4
batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam
bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan
jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang
sangat kuat.
✐ Kursi iaitu
jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang
sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk
pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu
berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke
leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil
untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib &
'Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur
dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing.Orang kafir & munafik
beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka
tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang
pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama
kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah
perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba
giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka
lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang
mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk
akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat
besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun.Daun yang bercahaya
untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini
disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan
pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama
yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya
tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab,
mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi
saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah
Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan
ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak
masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk
berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi
Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan
penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan
manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan
manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada
keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan
rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi
syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang
dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya
dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat.
Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka.
Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia
lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan
dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin
Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik,
5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun.Ada makhluk yang melintasinya
seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada
yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki
mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat
berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu.Setiap 1000
orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999
orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh
Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani.Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya
kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat²
yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
❝ Sampaikanlah
pesananku walaupun satu ayat.❞
No comments:
Post a Comment